KUNJUNGAN DATO AZIZUL TANDEK KE ASRAMA CITY U SEMASA PKP

PENULIS: AUFA MARDHIAH


13 April 2020: Pelajar-pelajar City University yang tinggal di asrama yang terletak di Damai Court, Puchong telah menerima kunjungan Dato Azizul bin Tandek semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan baru-baru ini. Lawatan beliau ke sana adalah bertujuan untuk memberi sokongan moral khususnya kepada pelajar Borneo yang terkandas di asrama dan tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman semasa PKP. 

 

Dato Azizul bin Tande yang merupakan Naib Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Sabah juga merangkap Ketua Pemuda Gerakan Negeri Sabah bersimpati akan nasib pelajar-pelajar yang tidak kesampaian untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Oleh itu, beliau dengan berbesar hatinya turun padang bagi memantau dan memastikan sendiri keadaan pelajar Borneo di hostel Damai berada di dalam keadaan terkawal dengan bekalan makanan yang mencukupi.


Lawatan yang mengambil masa selama 2 jam itu sedikit-sebanyak membantu membangkitkan semangat para pelajar untuk kuat dan terus berjuang demi menempuhi peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung. Antara cabaran dan kekangan yang ditempuhi para pelajar termasuklah kesempitan wang tunai dan kepayahan sambungan internet yang mengganggu konsetrasi pelajar untuk mengulang-kaji pelajaran.


Sebelum ini juga terdapat beberapa pihak yang sudi memberi sumbangan yang tidak hanya terhad kepada pelajar Borneo malah untuk kesemua pelajar-pelajar City University di hostel Damai dan Mentari seperti Natasha Ozeir dan Syed Hafiz yang merupakan EXCO Belia PPBM, Encik Hazley dari Pasta Panas dan beberapa lagi individu lain yang diterima dengan hati yang terbuka.


Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak 18 Mac 2020 ini memberi impak kepada segenap lapisan masyarakat, termasuklah pelajar-pelajar di IPT di dalam dan luar negara. Ibu bapa terutamanya sangat runsing memikirkan nasib anak-anak mereka. Dengan adanya lawatan daripada Dato Azizul, pihak pengurusan City U percaya ia boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa pelajar yang tinggal di Borneo selain pelajar dapat diingatkan supaya berhati-hati dan elakkan pergerakan yang berlebihan supaya tidak dijangkiti oleh Covi-19 yang melanda dunia tahun ini. -CITY U INSIGHT-

Thank you for reading.
Website: www.city.edu.my
Facebook: cityumalaysia

Comments