SAMBUTAN HARI RAYA 2020 PELAJAR CITY U DI ASRAMA DAMAI COURT

PENULIS: NURUL ASYIQIN JAAFAR
SEGMEN: AKTIVITI


Meskipun berjauhan dengan keluarga, hari raya tetap disambut oleh 70 pelajar Borneo dan staf City University Malaysia di asrama mereka yang terletak di Damai Court, Puchong. Majlis hari raya yang mengambil masa selama 2 jam ini dijalankan secara berperingkat di mana hanya 20 orang sahaja yang dibenarkan berkumpul dalam tempoh setiap 20 minit. 


Jamuan raya ini dianjurkan oleh pihak pengurusan asrama Damai Court termasuk warden asrama serta Registry Department dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar City U (STAD) pada Syawal kedua, 25 Mei 2020 yang lalu. Majlis kecil-kecilan ini berlangsung di dewan serbaguna Damai Court.


Antara juadah-juadah lazat yang disediakan pada hari itu adalah seperti nasi minyak, lemang, ketupat palas, rendang, tauhu bergedil, pencuci mulut seperti donut dan kuih muih tradisional melayu serta biskut raya sumbangan daripada pihak akademik City U.

Kesemua pelajar hadir dengan berhias dan berdandan dengan memakai baju raya dan berkumpul di dalam dewan serbaguna tersebut. Sambil menikmati juadah raya, mereka kelihatan sangat gembira dapat meraikan bersama rakan-rakan yang lain.

Meskipun seronok beraya bersama, kesemua pelajar dan staf tetap patuh dengan perintah kerajaan untuk menjaga jarak, tidak berkumpul melebihi 20 orang dan sentiasa memakai sanitizer. Bak kata lirik lagu raya nyanyian Dato Seri Vida, "Yang jauh ok, yang dekat ok, di hari raya semuanya mesti okay."


Selain majlis hari raya ini dipenuhi dengan juadah dan gelak tawa, pelajar-pelajar ini turut membuat persembahan nyanyian lagu raya bagi menceriakan suasana. Sebelum majlis berakhir, pengagihan duit raya juga diberikan. Majlis hari raya ini ditaja oleh pihak Registry City University.


"Kami faham bagaimana perasaan pelajar-pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya. Jadi dengan adanya majlis kecil-kecilan sebegini pihak City U berharap dapat mengubat rindu pelajar dengan menyediakan makanan dan duit raya sebagai hadiah buat mereka," kata Puan Rosnizah yang merupakan Registrar di City U. -CITY U INSIGHT-



Thank you for reading.
Website: www.city.edu.my
Facebook: cityumalaysia







Comments